JOHOR BAHRU, 15 Jan: ASEAN Travel Exchange (TRAVEX) 2025 menyasarkan kutipan pulangan lebih RM20 juta melalui platform ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P. Manoharan berkata, program tersebut menunjukkan peningkatan penyertaan daripada segi penglibatan pengusaha tempatan dalam sektor pelancongan.
Menurutnya, platform ini memfokuskan kepada pakej atau produk pelancongan minat khas seperti boarding, menyelam, seni dan budaya, sekali gus mempromosikan Malaysia di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“TRAVEX 2025 mempunyai lebih 300 pembeli daripada 40 buah negara. Sehubungan itu, kita menjangkakan pulangan melebihi RM20 juta. Selain itu, terdapat lebih daripada 121 penjual domestik jika dilihat dari segi platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
“Jadi, kita percaya penganjuran ATF 2025 ini akan memberikan pulangan besar kepada Malaysia, ia juga selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media seusai Majlis Pelancaran ASEAN Travel Exchange (TRAVEX) 2025 di Persada Johor International Convention Centre di sini, hari ini.
Tambahnya, TRAVEX 2025 merupakan salah satu aktiviti utama dalam usaha merancakkan promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan, bukan sahaja di peringkat ASEAN, tetapi juga secara global.
Menurut Manoharan, lebih 221 penjual mempamerkan keunikan pelancongan negara ASEAN, di samping penyertaan 323 pembeli daripada 42 negara serta 100 wakil media antarabangsa dalam program tersebut.
Program lima hari itu bermula hari ini sehingga 20 Januari dengan tujuan meningkatkan pelancongan ke negara-negara ASEAN.
Ia dijangka menarik penyertaan pelbagai pihak, termasuk menteri-menteri pelancongan, ketua-ketua organisasi pelancongan nasional, pemimpin industri, wakil media serta profesional pelancongan dari seluruh ASEAN. – TVS