DIBW 2023 berjaya, diteruskan jika dapat kelulusan kerajaan

KOTA TINGGI: Penganjuran Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 dianggap berjaya apabila mengumpulkan lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, program berkenaan menjadi satu program pelancongan yang amat baik bagi negeri ini dan akan diteruskan pada masa akan datang sekiranya mendapat kelulusan daripada kerajaan.

“Ya kita akan teruskan program ini jika mendapat kelulusan kerajaan pada masa depan kerana program ini sudah ada nama yang besar dan dikenali di peringkat antarabangsa. Sudah banyak kita promosi, jadi akan datang lebih mudah kerana nama Johor sudah ada dalam kalender ‘bikers’ dunia.

“Bahkan bagi program kali kehadiran di dua tempat, iaitu di Pantai Awam Desaru dan Pantai Tanjung Balau berjaya menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung dalam dan luar negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan polis menahan dua lelaki berusia 50 dan 30 tahun bagi membantu siasatan berkaitan kejadian insiden rusuhan semasa program DIBW 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi, malam kelmarin.

Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah akibat berlakunya salah faham antara kumpulan penunggang motosikal tempatan dan kumpulan penunggang motosikal dari Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Suhairi turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pantas mengawal kekecohan yang berlaku sehingga tidak melibatkan insiden serius.

“Apa yang penting tiada insiden yang serius dan keadaan terkawal, terima kasih kepada PDRM yang pantas mengawal dan menyuraikan kumpulan yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *