JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor merancang untuk bekerjasama menjayakan penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) melalui kolaborasi membabitkan Tourism Johor dan Majestic Johor, tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata ia bagi memastikan penganjuran program itu sebagai platform kepada usahawan muda tempatan dan seumpamanya dapat dilaksanakan pada skala lebih besar dan memberi impak lebih luas.
Beliau berkata, program KJH X Hari Nanas Malaysia selama tiga hari telah menerima lebih 250,000 pengunjung di Angsana Johor Bahru Mall di sini, setakat semalam.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Media Prima yang telah menganjurkan program atau platform untuk usahawan yang baru mula menapak.
“Di sini, saya melihat ramai usahawan khususnya usahawan muda di Johor meletak diri mereka pada satu tahap lebih tinggi untuk meningkatkan pasaran dan berdaya saing dengan peniaga lain.
“Insya-Allah, kalau boleh bawa program lagi besar pada tahun depan. Hari ini, kita tengok ramai pengunjung datang seawal pagi. Saya bersama Pengarah Tourism Johor mungkin boleh merancang lebih awal… mungkin sekali dengan Majestic Johor.
“Saya juga berharap program tahun depan akan membabitkan artis anak tempatan Johor,” katanya kepada pemberita ketika melawat reruai di KJH X Hari Nanas Malaysia bersama Ketua Pegawai Operasi Media Prima, Datuk Mohd Efendi Omar, hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, dilaporkan berkata kementeriannya yakin akan mencapai sasaran 500,000 pengunjung pada KJH X Hari Nanas Malaysia.
Beliau dipetik memaklumkan setakat semalam, 50 peratus sasaran pengunjung telah berjaya dicapai.