JOHOR BAHRU: Orang ramai khususnya peminat makanan serTA muzik tradisi dipelawa memeriahkan Festival Makanan Antarabangsa Johor dan Muzik Nusantara 2023 di Stadium Tertutup Pasir Gudang, mulai hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 300,000 pengunjung memeriahkan program selama tiga hari yang julung kalinya diadakan itu.
Katanya, penganjuran program yang menggabungkan usahawan dan pemuzik tiga negara, iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia itu akan merancakkan lagi sektor ekonomi setempat, khususnya di Pasir Gudang selepas kejayaan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-25, minggu lalu.
“Kita maklum negeri ini sedang dilanda bencana banjir akibat hujan lebat namun program ini dirangka awal bertujuan meningkatkan sektor ekonomi masyarakat setempat.
“Ia bukan sekadar program berbentuk hiburan namun memberi limpahan ekonomi kepada usahawan industri kecil dan sederhana terlibat serta pengusaha pelbagai sektor perkhidmatan lain seperti hotel, rumah tumpangan serta premis makanan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Maklumat Pelancongan Johor (Jotic), di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Tourism Johor, Dr. Mohd. Azlan Ab. Jalil dan penyanyi, Ifa Raziah.
Raven Kumar yakin sasaran kehadiran pengunjung itu mampu dicapai memandangkan jumlah sama direkodkan semasa penganjuran FLLSPG ke-25 yang diadakan di lokasi berhampiran.
“Penganjuran festival sempena cuti persekolahan dan lokasi Pasir Gudang yang membolehkan bukan sahaja pengunjung tempatan, malah antarabangsa khususnya dari Singapura dan Indonesia turut hadir.
“Program ini turut meningkatkan lagi imej negeri Johor sebagai salah satu destinasi pelancongan tumpuan antarabangsa dalam kalendar pelancongan negara,” katanya.
Program yang bermula seawal pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam itu menyaksikan persembahan oleh artis popular tanah air dan jualan pelbagai barangan oleh pengusaha Malaysia, Indonesia dan Singapura. – UTUSAN