JOHOR BAHRU – Kejatuhan nilai ringgit ketika ini perlu digunakan sebaiknya untuk menarik lebih ramai warga Singapura datang ke negeri ini berbelanja dan mengunjungi destinasi pelancongan.
Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, usaha itu secara tidak langsung akan memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan di negeri ini.
“Kita perlu jadikan perkara ini (kejatuhan ringgit) sebagai kelebihan dan gunakan keadaan tersebut sebaik mungkin. Kita boleh lakukan lebih banyak promosi di peringkat antarabangsa dan menarik kehadiran pelancong dengan pakej percutian menarik.
“Salah satu sektor yang boleh dipromosi adalah pelancongan kesihatan.
“Ketika ini majoriti pelancong kesihatan yang hadir ke Johor melibatkan warga Indonesia, jadi mungkin kita juga boleh tarik pelancong Singapura dalam sektor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Central Business District (CBD) Heritage Walk di Legaran Segget di sini pada Ahad.
Media Singapura sebelum ini melaporkan, sejak sempadan dibuka semula dan ringgit terus merudum berbanding dolar Singapura, rakyat republik berkenaan berpusu-pusu ke Johor untuk membeli-belah dan bercuti.
Sharil Nizam berkata, terdapat ramai pakar perubatan di hospital negeri ini yang bertaraf antarabangsa dan dengan kejatuhan ringgit pastinya akan menjadi tarikan tambahan kepada mereka mendapatkan rawatan.
Katanya, Tourism Johor akan terus melakukan promosi terhadap warga Singapura bagi memastikan negeri ini tidak hanya menjadi laluan atau destinasi perbelanjaan semata-mata sebaliknya sebagai satu destinasi pelancongan utama mereka.
Kata beliau, pihaknya mempunyai beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan bagi menjayakan perkara tersebut.
Jelasnya, inisiatif itu antaranya dengan menyediakan pakej tawaran pelancongan menarik yang digemari pelancong dari republik berkenaan.
“Mungkin ada pihak kata warga Singapura hanya menjadikan Johor sebagai hentian atau laluan mereka ke lokasi lain atau hanya berbelanja di sini, namun kita ada inisiatif agar mereka berhenti dan menginap di negeri ini.
“Antaranya melalui usaha pemuliharaan bangunan-bangunan ikonik di negeri ini serta penyusunan jadual pakej percutian yang menarik buat mereka, jadi pelancong yang mengikuti pakej berkenaan akan bermalam di negeri ini,” katanya.