Lebih 500,000 pengunjung dijangka hadiri Pesta Chingay Johor Bahru 2025

JOHOR BAHRU – Lebih 500,000 peserta dan pengunjung dijangka menghadiri Pesta Chingay Johor Bahru 2025 bermula Ahad hingga Rabu depan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, jumlah berkenaan termasuk dengan bilangan pengunjung dari pelbagai negara antaranya Singapura, Filipina dan China.

“Tahun ini Pesta Chingay Johor Bahru 2025 dianjurkan dengan sokongan Tourism Malaysia dan beberapa laluan utama di sekitar bandar raya Johor akan ditutup secara berperingkat sepanjang tempoh empat hari ia berlangsung.

“Pada hari kemuncak festival iaitu pada 18 Februari, seramai 2,148 pegawai dan anggota polis akan bertugas memastikan kelancaran festival serta keselamatan awam dijaga.

“Beberapa laluan seperti Jalan Ulu Ayer Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Wong Ah Fook akan ditutup bermula jam 5 petang hingga 3 pagi keesokan harinya,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma Tiong Ha, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya yang tidak terlibat dengan perarakan untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan.

“Pengguna dari Skudai atau Danga Bay ke Pusat Bandar, boleh gunakan Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Abu Bakar manakala dari Tebrau atau Kota Tinggi pula boleh gunakan Lebuhraya EDL melalui Jalan Stulang Laut.

“Jika dari Pasir Gudang ke Pusat Bandar, pengguna boleh melalui Jalan Bakar Batu dan Jalan Lingkaran Dalam. Begitu juga dari Singapura (Tambah Johor), anda disarankan untuk menggunakan pengangkutan awam,” ujarnya.

Tambah beliau, kuasa menutup atau mengubah dan menyekat jalan adalah di bawah bidang kuasa Ketua Polis Daerah di bawah Seksyen 21 dan 29 Akta Polis 1967.

Pada masa sama, Raub turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan dan datang lebih awal ke lokasi sambutan.

“Pengunjung yang hadir perlu meletakkan kenderaan di parkir disediakan dan sentiasa berwaspada dengan memastikan kereta dikunci serta tiada barang berharga ditinggalkan.

“Orang ramai juga dilarang membakar mercun dan bunga api serta tidak dibenarkan menerbangkan dron tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sepanjang acara berlangsung,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Ho Sow Tong berkata, Malaysia dan Singapura akan memohon pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi acara tersebut.

Menurutnya, sasaran tersebut yang menyebabkan pihaknya menjangkakan penglibatan lebih ramai berbanding tahun-tahun lalu.

“Selain peserta dan pengunjung tempatan dari Malaysia, pesta kali ini turut dihadiri peserta dari China, Singapura, Filipina, Thailand serta Taiwan,” katanya.

Nur Atikah Athilya Hassan – Sinar Harian

https://www.sinarharian.com.my/article/712305/edisi/johor/lebih-500000-pengunjung-dijangka-hadiri-pesta-chingay-johor-bahru-2025?fbclid=IwZXh0bgNhZW0CMTAAAR0EFuigNeU4-7PSO6B_2z6vBDp11z-rr801rU9_eUG4vhH8quUXjrz1zug_aem_NrJLSaVr0hHLxE4yZ0bQyA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *