Naik kereta api, jelajah Segamat dan Kluang

Tidak mahu letih memandu dan mahu bertukar angin ketika bercuti? Perjalanan menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api antara pilihan yang bukan sahaja efisien tetapi juga mesra poket.
Baru-baru ini penulis berpeluang mengikuti program Famtrip Railway to See Malaysia edisi Segamat dan Kluang, Johor yang diadakan sempena pelancaran perkhidmatan tren ETS ke Segamat yang bermula 15 Mac lalu.
Program anjuran kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Tourism Johor adalah untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026.
Bermula di stesen KL Sentral, perjalanan ke Segamat mengambil masa hampir tiga jam dan menariknya, pengguna tidak lagi perlu turun dan bertukar tren di stesen Gemas.
Selepas tiba di Stesen Keretapi Segamat, pengunjung boleh bergambar di Dataran Segamat yang merupakan mercu tanda daerah ini selain di Lorong Seni & Budaya Segamat.
Kemudian, dengan hanya berjalan kaki sekitar pekan, pengunjung boleh membasahkan tekak di kedai cendol popular iaitu Cendol Segar Amat yang telah beroperasi sejak tahun 1957.
Penat berjalan, anda boleh merehatkan kaki dengan berendam di Kolam Air Panas, Labis.
Bagi mereka yang inginkan ketenangan alam dan sukakan aktiviti lasak seperti pendakian ataupun ATV bermalam di Cabin Hills Labis Eco Resort adalah pilihan yang tepat.
Selesai di Segamat, rombongan Famtrip Railway to See Malaysia menaiki bas pula meneroka daerah Kluang dengan melawat UK Farm Agro Resort yang merupakan pengeluar jagung ternakan terbesar di Malaysia di kawasan seluas 250 hektar.
Kemudian, kami menikmati Nasi Briani Warisan Kluang disusuli melawat produk pelancongan Johor iaitu Rumah Seni Kluang.
Memang tidak sah jika ke Kluang tidak pekena kopi sementelah Kluang memang dikenali sebagai syurga kopi. Begitu banyak kopi jenama terkenal tempatan dikilangkan di sini. Penulis sempat melawat kilang dan kedai kopi jenama Kluang Coffee cap Televisyen.
Selesai membasah tekak, kami semua dibawa ke Talula Hill Farm Resort. Bukan sahaja warga tempatan, Talula Hill Farm Resort juga popular dalam kalangan pelancong luar terutama Singapura.
Keesokannya, pada pagi hari ketiga kami sempat bersarapan di kedai kopi ‘legend’, Kluang Rail Coffee cawangan pertama yang terletak bersebelahan dengan Stesen Keretapi Kluang.
Menu dan rasa kopinya tidak pernah berubah sejak memulakan operasi pada tahun 1938. Meski datang seawal pukul 9 pagi, pelanggan perlu berbaris panjang untuk mendapatkan meja.
Dari Kluang, kami akhirnya bergerak ke Stesen Segamat untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Meskipun jadual begitu padat, namun dapat meneroka Segamat dan Kluang menggunakan kereta api adalah satu kenangan yang cukup indah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *