Johor Bahru: Kerajaan Negeri bakal menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi memudahkan pergerakan pelancong yang berkunjung ke bandaraya Johor Bahru sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemudahan itu turut bertujuan memberi keselesaan kepada pelancong selain memastikan pergerakan mereka lebih lancar meskipun beberapa projek pembangunan sedang dijalankan di kawasan terbabit.
“Kerja pembinaan di bandar ini adalah sebahagian daripada pembangunan. Contohnya, kita sediakan bas percuma di kawasan bandar bagi memudahkan pergerakan pelancong.
“Saya lihat kerja pembinaan itu tidak menjadi kekangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Maskot, Tagline, Lagu dan Video Rasmi Tahun Melawat Johor 2026 di Zoo Johor, di sini, hari ini.