ISKANDAR PUTERI, 14 Nov (MalaysiaAktif) – Iskandar Puteri menjadi tumpuan pelayar antarabangsa apabila Rally Sail Malaysia Passage to Langkawi memulakan peringkat pelayaran Malaysia dari Pinetree Marina, Puteri Harbour sempena ulang tahun ke-20 penganjurannya.
Sebanyak 20 kapal layar dari 10 negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Belanda, Jepun, Sweden, Sepanyol, Switzerland dan Malaysia menyertai edisi tahun ini yang bermula di Cairns, Australia pada Julai lalu.
Wakil Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha berkata rally itu akan meneruskan pelayaran ke beberapa destinasi di pantai barat Semenanjung sebelum berakhir di Langkawi pada 12 Disember dengan jarak sekitar 3,000 batu nautika.
“Program tahunan ini bukan sekadar acara pelayaran semata-mata, malah berperanan penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan maritim serta pusat penyelenggaraan kapal layar serantau.
“Rally ini bukan hanya tentang pelayaran, tetapi tentang persahabatan dan penemuan budaya antara pelayar antarabangsa dengan komuniti tempatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Melayu, di sini kelmarin.
Sail Malaysia merupakan inisiatif persendirian dengan sokongan pelbagai agensi termasuk Tourism Johor, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pinetree Marina, Pangkor Marina, Rebak Island Resort & Marina serta Admiral Marina Port Dickson.
Antara aktiviti pelayar ialah lawatan ke hutan paya bakau, ladang nanas, Pusat Warisan Johor, persembahan zapin dan destinasi pelancongan sekitar Johor Bahru.
https://malaysiaaktif.my/2025/11/discover-malaysia-by-sea-johor-jadi-tumpuan-pelaut-antarabangsa/


