Eksplorasi keindahan dasar laut Johor curi tumpuan antarabangsa

MERSING, 13 Julai: Johor sekali lagi mencuri tumpuan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan memperkenalkan Program Johor Dive and Underwater Photography.

Dalam usaha memperkenalkan negeri Johor sebagai destinasi marin utama menjelang Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026, Tourism Malaysia Wilayah Selatan dengan kerjasama Tourism Johor dan Pejabat Daerah Mersing melancarkan program berprestij itu, yang berlangsung dari 20 hingga 23 Jun 2025 di pulau-pulau indah di sekitar Mersing.

Disertai oleh peserta dari pelbagai latar belakang, mereka dibawa mengembara selama tiga hari tiga malam melalui pengalaman luar biasa Live On Board (LOB) yang menawarkan peluang kepada mereka untuk merasai sendiri keindahan dasar laut Johor.

Penolong Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Amirul Ashraf Muhd Johari berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti selam skuba biasa, tetapi merupakan platform strategik untuk memperkenalkan pelancongan marin, khususnya selam skuba di Johor kepada dunia.

“Pihak kami memberi peluang kepada agensi-agensi pelancongan untuk membina pakej-pakej pelancongan baharu dengan memfokuskan kepada segmen marin ini.

“Kami juga menggalakkan agensi pelancongan untuk bekerjasama dengan pengusaha bot selam skuba dan tempat penginapan dalam mempromosikan daerah Mersing sebagai pusat pelancongan marin, terutamanya di Pulau Aur dan Pulau Dayang,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Menurutnya, salah satu lokasi yang menjadi tumpuan adalah Taman Laut Sultan Iskandar, yang terkenal dengan kekayaan biodiversiti lautnya yang masih terpelihara.

Lokasi-lokasi berkenaan menjadi syurga untuk para penyelam skuba yang ingin menyaksikan keindahan alam bawah laut yang luar biasa.

Antara lokasi popular untuk aktiviti selam skuba adalah di sekitar Pulau Aur yang menampilkan spot selaman ikonik seperti Pinacles I, II, III dan Turtle Rack, serta di Pulau Lang dan Pulau Dayang yang juga memiliki lebih daripada 10 spot selaman menarik.

“Taman Laut Sultan Iskandar dipilih sebagai lokasi utama berdasarkan kekayaan biodiversiti laut dan landskap semula jadi yang masih terpelihara, menjadikannya destinasi terbaik untuk mempromosikan aktiviti selam skuba.

“Taman laut ini bukan hanya menjadi syurga penyelam, tetapi juga simbol komitmen Johor dalam memelihara ekosistem marin dan pembangunan pelancongan secara eLestari,” ujarnya.

Amirul menambah, program tersebut turut memperkenalkan kepada para peserta tentang sistem pemantauan pintar, Mersing Tourism Operating System (MeTOS) yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memantau jumlah pelancong dan memastikan kelestarian ekosistem.

Penyertaan lebih 20 orang peserta dalam program tersebut bukan sahaja memberi mereka pengalaman ‘experiential tourism’, tetapi juga menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan, pengusaha pelancongan dan sektor swasta untuk memperkenalkan Johor kepada pasaran antarabangsa.

Para peserta diberi peluang untuk menginap di atas bot LOB, yang menyediakan suasana luar biasa sepanjang tiga hari aktiviti menyelam.

Selain itu, mereka turut dibawa melawat beberapa resort pelancongan seperti Dayang Island Resort di Pulau Dayang yang menawarkan kemudahan dan suasana pantai yang memukau.

Keindahan gugusan kepulauan Aur di Johor bukan sekadar panoramanya yang memukau, tetapi juga terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dinikmati sepanjang percutian. – TVS

https://www.tvsarawak.my/2025/07/13/eksplorasi-keindahan-dasar-laut-johor-curi-tumpuan-antarabangsa/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *