#IskandarPuteri – Pemain industri pelancongan termasuk pemandu pelancong bakal menerima perhatian khusus daripada Kerajaan Negeri apabila Belanjawan Johor 2026 dijangka akan memperkenalkan pelbagai insentif dan sokongan bagi menyokong usaha golongan ini, sekali gus memperkasakan sektor pelancongan di negeri ini.
Usaha ini selari dengan langkah Kerajaan Negeri untuk memperkukuh promosi sektor pelancongan Johor di peringkat serantau dan antarabangsa, khususnya selepas Johor menjadi tuan rumah Persidangan Pemandu Pelancong Asia Tenggara Kali Kedua 2025, selain ia juga menjadi antara strategi penting dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Johor 2026.
Persidangan selama tiga hari itu akan menjadi platform strategik kepada pemandu pelancong tempatan dan antarabangsa untuk bersama berkongsi pengetahuan, mempelajari amalan terbaik rakan serantau serta memperluas jaringan rangkaian profesional mereka, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan Johor.
Kerajaan Negeri juga terus komited dalam memacu persiapan bagi menjayakan kalendar pelancongan utama melalui pelbagai projek menaik taraf destinasi sedia ada termasuk Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) yang kini di peringkat akhir kerja menaik taraf.
Selain itu, kerja-kerja menaik taraf Taman Negara Johor Air Terjun Gunung Ledang, Muzium Tokoh Johor dan kawasan ekopelancongan di Kampung Sungai Melayu juga dijangka dapat disiapkan mengikut jadual dan ia diharapkan dapat membantu usaha Kerajaan Negeri untuk menarik kehadiran 12 juta pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Pemandu Pelancong Asia Tenggara Kali Kedua 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.
Hadir sama, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor; YBhg Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru dan YBhg Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor.


