JOHOR BAHRU, 13 Okt 2025 — Johor hari ini telah melancarkan maskot, tagline, lagu dan video rasmi bagi kempen Tahun Melawat Johor (VJY2026) dalam satu majlis penuh simbolik yang diadakan di Zoo Johor.
Pelancaran tersebut menandakan permulaan kepada usaha dan persediaan menyambut Tahun Melawat Johor 2026, dengan sasaran menarik 12 juta pelancong serta menjana lebih RM42 bilion hasil ekonomi kepada negeri itu.
Maskot rasmi VJY2026 menampilkan dua ekor harimau belang, Cuping dan Jucy, yang masing-masing melambangkan kekuatan serta keanggunan negeri Johor.
Cuping, seekor harimau jantan yang lahir di Zoo Johor pada 2013, dinamakan sempena parut kekal di telinganya (“cuping”) akibat gigitan ibu semasa kecil. Ia melambangkan kekuatan, ketabahan dan semangat juang bangsa Johor.
Sementara itu, Jucy, harimau betina yang dilahirkan pada 2018, mendapat nama daripada induk asal Zoo Johor — Jeli dan Juli. Ia menggambarkan keanggunan, keramahan dan semangat hospitaliti Johor.
Kedua-dua maskot ini menjadi simbol keseimbangan antara kekuatan dan kelembutan, tradisi dan kemodenan, serta bakal berperanan sebagai “duta kecil Johor” untuk memperkenalkan negeri itu kepada dunia.
Tagline rasmi: “Meh Lah Johor!”
Tagline rasmi “Meh Lah Johor!” dipilih bagi mencerminkan keramahan masyarakat Johor yang sentiasa mengalu-alukan tetamu, serta menjadi ajakan terbuka kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menerokai keindahan negeri itu.
Lagu dan video rasmi
Lagu rasmi “Pesona Johor” mengangkat keunikan 10 daerah di Johor dengan menampilkan kepelbagaian budaya serta produk pelancongan popular. Melodi dan liriknya menggambarkan semangat kesatuan serta jati diri rakyat Johor.
Video rasmi pula menonjolkan keindahan, kepelbagaian dan keunikan negeri Johor, sekaligus mencerminkan identiti Majestic Johor yang ingin diketengahkan di peringkat antarabangsa.
Sokongan pelbagai pihak
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan kit promosi kepada 10 pegawai daerah negeri Johor bagi menyemarakkan promosi VJY2026 di seluruh daerah. Kit tersebut merangkumi bahan promosi seperti roll-up bunting, beach flag, dan banner.
Sebagai simbol sokongan terhadap kempen ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut hadir menyempurnakan Majlis Perletakan Pelekat Visit Johor 2026 pada bas milik Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan kenderaan Grab Car.
Melalui kerjasama strategik Tourism Johor dan Majestic Johor Tourism bersama PAJ dan Grab Car Sdn. Bhd., sebanyak 20,000 kod promosi perjalanan Grab akan disediakan untuk digunakan di lokasi tarikan pelancong utama.
Majlis itu juga meraikan pelawat ke-1 juta Zoo Johor sejak ia dibuka semula pada Ogos 2024.
Kempen ini akan diteruskan dengan acara kemuncak Pelancaran dan Sambutan Visit Johor Year 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 14 Disember 2025 di Dataran MBJB, menghimpunkan rakyat Johor serta pelancong dalam sambutan besar-besaran.


