KULAI: Kerajaan Johor melipatgandakan pelaksanaan program dan acara pelancongan sempena kempen Tahun Melawat Johor 2026 dengan menyusun lebih 100 acara berskala besar, sederhana dan komuniti di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata peningkatan itu dua hingga tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, perancangan rapi lebih 100 program dan acara itu membabitkan kerjasama pelbagai agensi negeri dan Persekutuan, selain pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemain industri pelancongan.
“Sebenarnya di Johor, perancangan pelancongan ini sudah dibuat sejak beberapa tahun lalu dengan pembabitan pelbagai agensi.
“Untuk 2026, kita menyusun lebih 100 acara termasuk program sedia ada pada peringkat desa dan komuniti.
“Antara acara utama dijadualkan berlangsung sepanjang tahun ini termasuk Festival Layang-Layang, Majestic Johor Festival, Ledang Climbathon, selain pelbagai program baharu dan sedia ada yang dilaksanakan secara berperingkat di semua 10 daerah di Johor,” katanya selepas sambutan hari pertama Tahun Melawat Johor 2026, di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini, hari ini.
Sambutan Tahun Melawat Johor 2026 diadakan seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di semua pintu masuk utama negeri meliputi laluan udara, darat dan laut bagi menyambut kehadiran pelancong tempatan serta antarabangsa.
Antaranya LTAS dan Terminal Feri Puteri Harbour, Terminal Feri Berjaya Waterfront, Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Desaru Coast, Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Terminal Feri Muar serta Terminal Feri Tanjung Pengelih.
Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri menyasarkan 12 juta pelancong ke Johor menjelang suku keempat tahun ini yang dijangka menyumbang kesan ekonomi melebihi RM42 bilion kepada negeri.
Katanya, sehingga September tahun lalu, Johor merekodkan 7.9 juta pelancong dalam dan luar negara yang menginap sekurang-kurangnya satu malam di seluruh negeri ini.
“Johor turut menampilkan pelbagai tarikan baharu dan sedia ada berasaskan alam semula jadi serta ekopelancongan. Antaranya Taman Negara Tanjung Piai, Taman Negara Johor Gunung Ledang, Taman Negara Endau-Rompin, Hutan Eko Rimba Gunung Pulai serta pantai indah di Mersing.
“Selain itu, beberapa tarikan baharu dijangka dilancarkan pada suku pertama dan kedua 2026 termasuk Muzium Tokoh, Pusat Rekreasi Sungai Lebam di Kota Tinggi, Ekoturisme Kampung Sungai Melayu (Paya Bakau), River Cross Sungai Johor, Pusat Rekreasi Danga Bay serta Pusat Gerai Daerah Kota Tinggi di Pengerang.
“Dari segi penginapan, Johor mempunyai kira-kira 500 hotel berdaftar membabitkan hotel dua hingga lima bintang dengan lebih 8,000 bilik. Jumlah itu, tidak termasuk penginapan homestay di seluruh negeri,” katanya.
Sementara itu, pelancong dari Jakarta, Indonesia, Erwin Saleh, 44 bersama lapan ahli keluarganya datang ke Johor buat kali pertama untuk menikmati keriangan taman tema Legoland.
“Saya kali pertama datang Johor bagi percutian tiga hari dua malam, selepas itu akan ke Kuala Lumpur sebelum pulang ke Indonesia,” katanya.


