Mersing lokasi ‘instagrammable’, Heaven’s Gate jadi tarikan

TERLETAK di timur laut negeri Johor, Mersing menjadi antara daerah yang menarik untuk berlibur. Ia dapat ‘mengecas’ semula tenaga sekali gus mengurangkan tahap kortisol (hormon stres) di samping memberi kesan positif kepada kesihatan mental. Terkenal dengan slogan Rainforest to Reef, Mersing menggabungkan keindahan hutan hujan tropika dan pesona lautan yang kaya dengan biodiversiti. Keindahan pantai sepanjang 244 kilometer (km) dengan 97 buah pulau menjadikan Mersing sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan keindahan alam semula jadi serta hidupan flora dan fauna. Menurut Pegawai Perhubungan Awam Majlis Daerah Mersing, Nazirah Masidi, antara tarikan utama yang semakin mendapat perhatian ialah Pulau Mawar yang terletak kira-kira 30 minit dari bandar Mersing. Ia digelar sebagai Heaven’s Gate kerana memiliki formasi batu semula jadi yang menyerupai pintu gerbang ke ‘alam sebalik mata’ seperti ditonton dalam filem fiksyen Barat. “Pintu gerbang yang terbentuk hasil hakisan ombak dan menjadikan ia antara lokasi paling ‘Instagrammable’. “Keadaan pasir pantai yang putih, air laut jernih, landskap berbatu serta hutan paya bakau menjadikan Pulau Mawar sebagai destinasi yang sesuai untuk pencinta alam dan fotografi,” katanya kepada CitaRasa. Dalam pada itu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan fenomena biopendarcahaya yang membuatkan kawasan sekitar seperti berada di alam magis.
“Pengunjung dapat menyaksikan fenomena bioluminescence atau blue tears pada waktu malam apabila plankton bercahaya kebiruan menjadikan suasana seakan-akan magis. “Kawasan ini juga sesuai untuk aktiviti pemerhatian bintang kerana bebas daripada pencemaran cahaya,” katanya.
Selain Pulau Mawar, beberapa lokasi lain di Mersing seperti Pulau Besar, Pulau Tengah, Pulau Hujung, Pulau Rawa, Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Dayang, Pulau Lang dan Pulau Pinang sesuai buat peminat aktiviti air seperti snorkeling dan selam skuba.
Lokasi terbabit menjadi destinasi pilihan buat mereka yang ingin meneroka dunia dalam air untuk menyaksikan keindahan terumbu karang bertaraf antarabangsa dan masih terpelihara sehingga ke hari ini.
Selain itu, pengunjung juga dapat melakukan island hopping seperti Pulau Besar, Pulau Hujung, Pulau Tengah, Pulau Harimau (gua sahaja), Pulau Sibu Besar, Pulau Tinggi, Pulau Ibol, Pulau Mentigi, Pulau Simbang, Pulau Penyembang, Pulau Aur, Pulau Dayang, Pulau Lang dan Pulau Pinang.
Lain-lain pulau tidak dibenarkan dan ditutup bagi tujuan konservasi.
Pun begitu, diingatkan kepada pengunjung, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pelancongan laut serta penggunaan sistem MeTOS (Mersing Tourism Operating System) yang diperkenalkan sejak Ogos 2022 mewajibkan pelancong untuk mendaftar sebelum membuat sebarang aktiviti air.
“Langkah ini diselaraskan oleh Majlis Daerah Mersing dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan keselamatan pelancong dan kelestarian marin terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Pengunjung yang ingin melakukan aktiviti selam skuda dan island hopping dinasihatkan menggunakan khidmat operator pelancongan tempatan yang telah berdaftar dalam MeTOS.
“Usaha itu selaras aspirasi Mersing untuk menjadi destinasi pelancongan lestari pertama di bawah rangkaian INSTO (International Network of Sustainable Tourism Observataries),” katanya.
Bagi penggemar aktiviti lasak pula, Gunung Arong di Tanjung Resang mempunyai tarikan tersendiri.
Memiliki ketinggian 240 meter, gunung itu mudah didaki dan menjanjikan pemandangan matahari terbit dari Laut China Selatan.
“Kawasan hutan simpannya kaya dengan biodiversiti termasuk kulat makra, spesies katak unik dan formasi kuarza yang jarang dijumpai.
“Namun, untuk ke sini pengunjung perlu mendapat kebenaran daripada Pejabat Hutan Mersing,” katanya.
Pelbagai rangkaian penginapan merangkumi hotel, motel dan inap desa ditawar pada harga berpatutan.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *