Kehadiran pelancong dari Singapura dijangka menjadi faktor penentu dalam menjayakan Tahun Melawat Johor 2026 yang bakal dilancarkan secara rasmi pada Disember 2025.
Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata usaha promosi akan digerakkan secara lebih agresif bermula Oktober melalui ruang iklan fizikal dan digital, dengan sasaran utama menarik lebih ramai pelancong dari Singapura.
“Pertama, kita telah mengesahkan penyertaan dalam pameran ITB Asia di Singapura pada 15 Oktober, dan kita akan bawa semua produk pelancongan Johor untuk dipromosikan sempena Tahun Melawat Johor.
“Apa yang kita harapkan pada 2026 ialah lebih ramai warga Singapura memilih untuk menginap lebih lama di Johor, sekali gus membantu kita mencapai sasaran 12 juta pelancong,” katanya kepada Berita Harian.
Menurut beliau, lokasi pelancongan utama seperti Desaru Coast di Kota Tinggi dan kepulauan Mersing akan terus menjadi tarikan penting kerana sudah lama menjadi pilihan warga Singapura.
“Kedua-dua daerah ini memang sudah menarik minat pelancong Singapura, cuma apa yang kita harapkan lebih ramai dalam kalangan mereka menetap lebih lama dan benar-benar mengenali produk pelancongan yang ditawarkan,” jelasnya.
Encik Mohammad Nazrul berkata Tourism Johor juga akan menyertai pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di Kuala Lumpur dari 5 hingga 7 September bagi mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026.
Selain itu, Tourism Johor akan melaksanakan Jelajah Majestic Johor bermula November ini dengan membawa pempengaruh media sosial untuk mempromosikan lokasi tarikan pelancongan di semua 10 daerah di negeri itu.
“Program ini akan berlangsung selama tiga minggu sebelum acara kemuncak pada Disember, iaitu pelancaran rasmi Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.
Antara program utama yang diatur ialah Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang, Festival Zapin dan Kebudayaan Johor, Majestic Johor Festival serta Majestic Johor Awards.
Beliau menambah bahawa kegiatan sukan lasak dan sukan keluarga akan menjadi tumpuan utama kerana kebanyakan pelancong Singapura lebih cenderung kepada aktiviti sebegitu.
“Mereka biasanya datang bersama keluarga untuk menetap, beriadah dan membeli-belah di kawasan penganjuran acara.
“Selain itu, kita juga akan memperluas tawaran produk seperti island hopping, ekopelancongan serta pelancongan kesihatan dan perubatan,” katanya.
Dengan strategi promosi menyeluruh serta sokongan produk pelancongan sedia ada, Tourism Johor yakin sasaran menarik 12 juta pelancong dapat dicapai, sekali gus mengukuhkan Johor sebagai destinasi pelancongan utama rantau ini.