JOHOR BAHRU: Johor mensasarkan 12 juta pelancong dengan jangkaan hasil ekonomi melebihi RM42 bilion sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Johor kaya dengan khazanah alam semula jadi, warisan serta kebudayaan untuk menarik ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu tahun hadapan.
“Johor kita ada banyak pulau yang indah antaranya Pulau Rawa, Pulau Mawar, Pulau Besar, Pulau Tinggi dan banyak lagi. Kita juga ada taman tema seperti Legoland, Adventure Waterpark Desaru Coast dan Austin Heights Water & Adventure Park.
“Kerajaan negeri juga memberi tumpuan utama bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan yang sedia ada termasuklah Zoo Johor yang kini berwajah baru dan telah menerima 1.2 juta pelawat pada tahun ini,” katanya ketika berucap merasmikan Tahun Melawat Johor 2026, malam ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri juga akan memperhebatkan lagi kemudahan logistik dan pengangkutan termasuk melalui rangkaian udara.
“Saya juga mengambil kesempatan untuk berkongsi bahawa dari segi logistik dan juga pengangkutan kita akan perhebatkan lagi tahun depan antaranya melalui rangkaian udara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang kini mencatat 536 pergerakan penerbangan seminggu menghubungkan Johor secara langsung ke 20 destinasi, 12 domestik dan 8 antarabangsa.
“Ia menghubungkan antara bandar-bandar utama termasuk Bangkok, Ho Chi Minh, Guangzhou, Jakarta, Surabaya, Makkah dan juga Jeddah,” tambahnya.
Tambah Onn Hafiz, bagi memeriahkan lagi Tahun Melawat Johor 2026 lebih daripada 60 acara berskala besar dan antarabangsa akan dilaksanakan antaranya ialah Festival Majestic Johor, International Zapin dan Musical, Festival Layang-Layang, Johor Mountain, Pesta Durian Segamat dan pelbagai acara sukan alam dan komuniti yang akan menghidupkan Johor sepanjang tahun hadapan.
Tahun Melawat Johor 2026 membawa ‘tagline’ rasmi, Meh Lah Johor! melambangkan sikap mesra serta mewakili keramahan bangsa Johor yang sentiasa mengalu-alukan tetamu.
Selain itu, Maskot Rasmi ‘Cuping & Jucy’ yang melambangkan dua harimau belang spesies Panthera Tigris dipilih sebagai wajah rasmi Tahun Melawat Johor 2026.
Pada pelancaran malam ini, turut menjadi tarikan utama adalah pertunjukan dron Visit Johor 2026 serta persembahan Zapin Mehlah Johor oleh 4,000 penari yang mencatatkan rekod sebagai persembahan zapin terbesar dalam Malaysia Book of Record (MBOR).


