Video, lagu rasmi Visit Johor Year 2026 dilancarkan

JOHOR BAHRU, 13 Okt: Kerajaan Johor melalui Tourism Johor dan Majestic Johor Tourism Sdn. Bhd. hari ini melancarkan maskot, tagline, lagu dan video rasmi sempena Visit Johor Year 2026 (VJY2026).

Pelancaran oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu menandakan permulaan rasmi kepada rangkaian persediaan negeri itu bagi menjayakan VJY2026 yang mensasarkan kedatangan 12 juta pelancong dengan potensi hasil ekonomi melebihi RM42 bilion.

Maskot rasmi VJY2026, Dua ekor harimau belang bernama Cuping dan Jucy dipilih sebagai maskot rasmi yang menjadi simbol kekuatan dan keramahan rakyat Johor.

Cuping, harimau jantan yang dilahirkan di Zoo Johor pada 2013, melambangkan semangat juang dan keberanian bangsa Johor sementara Jucy, harimau betina kelahiran 2018, mencerminkan keanggunan serta hospitaliti negeri ini.

Kedua-dua maskot ini melambangkan keseimbangan antara lelaki dan wanita, tradisi serta kemodenan, sekali gus menjadi duta kecil Johor dalam memperkenalkan negeri ini kepada dunia.

Tagline rasmi “Meh Lah Johor!” pula menggambarkan sifat mesra dan ajakan terbuka rakyat Johor untuk menerima tetamu dari seluruh pelosok dunia.

Sementara itu, lagu rasmi berjudul Pesona Johor menonjolkan keindahan sepuluh daerah Johor, kepelbagaian budaya, serta keunikan produk pelancongan negeri berkenaan.

Dalam masa sama, video rasmi VJY2026 turut dipertontonkan buat kali pertama menampilkan keindahan landskap, tarikan pelancongan serta identiti Johor yang membawa semangat Majestic Johor ke peringkat antarabangsa.

Majlis pelancaran di Zoo Johor turut diserikan dengan penyampaian Promotional Kit oleh Pengarah Tourism Johor kepada 10 pegawai daerah, bagi memperkukuh promosi pelancongan di seluruh negeri.- TVS.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *