KEMPEN Visit Johor 2026 dilancarkan secara rasmi dengan pengenalan maskot, lagu, video promosi dan ‘tagline’ rasmi dalam majlis yang berlangsung di Zoo Johor pada Isnin.
Johor menyasarkan kehadiran 12 juta pelancong sepanjang 2026, dengan potensi menjana lebih RM42 bilion hasil ekonomi.
Dua ekor harimau belang, Cuping dan Jucy, diperkenalkan sebagai maskot rasmi yang mewakili kekuatan dan keramahan selari dengan semangat Johor yang berani serta mesra.
Cuping, harimau jantan lahir pada 2013, melambangkan semangat juang rakyat Johor, manakala Jucy, harimau betina kelahiran 2018, membawa simbol hospitaliti dan keanggunan.
Sementara itu, ‘tagline’ rasmi Meh Lah Johor! turut dilancarkan bagi meneroka keunikan budaya, alam semula jadi dan tarikan moden yang ditawarkan di seluruh Johor.
Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata, inisiatif ini bukan sekadar simbolik, malah merupakan manifestasi komitmen Johor untuk terus menjadi destinasi pelancongan utama di rantau ini.
“Kita mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Johor bukan sekadar negeri di selatan tanah air, tetapi sebuah destinasi yang penuh warna dan jiwa, kaya dengan warisan semula jadi serta kepelbagaian produk pelancongan,” katanya.
Tambahnya, setiap daerah di Johor memiliki keistimewaan tersendiri yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
“Mersing menonjol sebagai gerbang utama ke destinasi marin terunggul negara, dengan keindahan pulau dan pantainya yang menenangkan.
“Kota Tinggi, pula menyerlah dengan tarikan Desaru Coast, lokasi pantai mempesona yang turut menempatkan resort bertaraf lima bintang dan tapak sejarah negara,” ujarnya.
Kempen Visit Johor 2026 dalam masa sama dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah pelancong serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan buat penduduk tempatan menjelang 2026.